|
Soalan-Soalan Lazim Mengenai Kolej Komuniti:-
S1: Apakah perbezaan kursus yang ditawarkan di Kolej Komuniti dengan Politeknik?
J1: Kursus di Kolej Komuniti menekankan aktiviti hands on atau praktikal iaitu
nisbah teori dengan amali adalah 25% : 75%
S2: Apakah kursus yang ditawarkan di Kolej Komuniti?
J2: Kolej Komuniti menawarkan kursus formal dan kursus pendek. Terdapat 22
kursus formal yang ditawarkan manakala kursus pendek bergantung kepada
permintaan dan keperluan komuniti.
S3: Berapakah tempoh pengajian bagi kursus sijil yang ditawarkan di Kolej Komuniti?
J3: Tempoh pengajian minimum bagi kursus Sijil ialah selama 2 tahun
(4 semester) dan tempoh maksimum ialah selama 5 tahun (10 semester).
Setiap pelajar diwajibkan menjalani dan lulus Latihan Industri selama
6 bulan pada semester ketiga.
S4: Apakah syarat kemasukan bagi kursus Sijil yang ditawarkan di Kolej Komuniti?
J4: Syarat minimum untuk memohon ke kursus formal di Kolej Komuniti adalah
warganegara Malaysia yang lulus SPM, manakala kursus pendek adalah
terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang berminat.
S5: Bagaimanakah cara untuk memohon belajar di Kolej Komuniti?
J5: Bagi kursus formal, calon boleh memohon dengan menggunakan borang yang
boleh dibeli di mana-mana Kolej Komuniti atau membeli no pin dari BSN dan
membuat permohonan secara online di http://www.bpkk.edu.my. Iklan mengenai
permohonan akan dikeluarkan pada bulan Februari/Mac dan September/Oktober
setiap tahun. Bagi kursus pendek pula mereka yang berminat boleh melihat iklan
atau brosur mengenai kursus yang ditawarkan di kolej berkenaan.
S6: Adakah Kolej Komuniti menyediakan kemudahan penginapan?
J6: Kolej Komuniti tidak menyediakan asrama atau tempat penginapan.
S7: Apakah kemudahan-kemudahan yang disediakan di Kolej Komuniti?
J7: Kolej Komuniti menyediakan kemudahan-kemudahan seperti bilik kuliah,
makmal komputer, makmal sains, perpustakaan, percetakan, kemudahan
sukan dan kemudahan pengangkutan.
S8: Berapakah bayaran yang dikenakan?
J8: Bayaran yang dikenakan bagi Kursus Sepenuh Masa (peringkat sijil) ialah
yuran pengajian adalah sebanyak RM200.00 (setiap semester) dan yuran
pelbagai sebanyak RM210.00 dibayar semasa pendaftaran semester pertama
sahaja. Bayaran yang dikenakan bagi Kursus Pendek pula adalah minimum
RM5.00 dan maksimum adalah RM20.00.
S9: Adakah bantuan kewangan yang disediakan?
J9: Kolej Komuniti ada menyediakan pembayaran elaun sebanyak RM 250
sebulan kepada pelajar Kolej Komuniti yang layak sahaja (Tertakluk
kepada syarat dan perubahan). Kepada yang tidak layak mendapat elaun,
pelajar boleh memohon pinjaman yang ditawarkan oleh KPTM.
S10: Adakah lulusan Kolej Komuniti berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke
peringkat yang lebih tinggi?
J10: Ya, lulusan Kolej Komuniti boleh menyambung pengajian ke program diploma
di Politeknik melalui program ‘bridging’ selama 6 bulan dan pengajian
diploma selama 1 tahun. Seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi di
universiti tempatan atau luar negara. Lulusan Sijil Kolej Komuniti boleh juga
memohon untuk meneruskan pengajian ke peringkat Diploma di Kolej
Komuniti.
S11: Adakah kursus yang ditawarkan di Kolej Komuniti diiktiraf?
J11: Sebanyak 18 kursus yang ditawarkan di Kolej Komuniti telah mendapatkan
pengiktirafan daripada JPA manakala bakinya 4 kursus masih lagi dalam
proses mendapatkan pengiktirafan.
Berikut adalah senarai kursus yang telah mendapat pengiktirafan JPA:
1. Kursus Teknologi Pembuatan Bersepadu
2. Kursus Automotif
3. Kursus Pelukis Pelan Senibina
4. Kursus Penyenggaraan Bangunan
5. KursusTeknologi Pembinaan
6. KursusTeknologi Elektrik
7. Kursus Sistem Komputer dan Sokongan
8. Kursus Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan
9. Kursus Multimedia Kreatif (Animasi)
10. Kursus Fesyen dan Pakaian
11. Kursus Hotel dan Katering
12. Kursus Teknologi Maklumat
13. Kursus Pelancongan dan Pengembaraan
14. Kursus Multimedia Kreatif (Pengiklanan)
15. Kursus Perakaunan Perniagaan
16. Kursus Penyejukan dan Penyamanan Udara
17. Kursus Rekabentuk Dalaman
18. Landskap dan Pengurusan Nurseri
Empat lagi kursus sedang dalam proses mendapatkan pengiktirafan JPA iaitu:
1. Kursus Kecantikan dan Dandanan Rambut
2. Kursus Bakeri & Konfeksionari
3. Industri Seramik
4. Teknologi Pembuatan Perabot
|